Páginas

Monday 29 April 2013

Usahawan Bumiputera disaran perluaskan promosi


SEORANG bekas tentera sebak ketika mendengar sajak patriotik yang dideklamasikan oleh Pak Nuri pada Perhimpunan Raksasa: Gema Patriotik di Pusat Dagangan Dunia Putra (PTWC), Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SAFIYANA SALIM

KUALA LUMPUR 28 April - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semangat patriotisme memiliki pengertian luas dan perkara itu tidak terbatas kepada perjuangan mempertahan kedaulatan negara semata-mata.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, semangat berkenaan turut merangkumi perjuangan mempertahan perpaduan negara, pembangunan ekonomi dan sosial selain memastikan tanah air bebas daripada ancaman akidah dan agama khususnya bagi orang Islam.

Jelasnya, dari segi mempertahan kedaulatan dan keselamatan negara, perkara itu adalah prasyarat untuk negara terus berjaya pada masa depan.
“Jangan ada puak-puak luar cuba menceroboh negara. Untuk itu, kita akan bangkit dan bangun menentang mereka supaya kedaulatan negara dapat terus dipertahankan. Kes pencerobohan pengganas di Lahad Datu misalnya, membuka mata rakyat untuk menilai betapa pentingnya kita mempertahankan keamanan dan keselamatan negara.

“Kita perlu sokong tindakan pimpinan kerajaan untuk mengukuhkan pertahanan negara dan kalau terpaksa berbelanja lebih sedikit untuk kita kukuhkan aset pertahanan negara, saya sokong," katanya.
Beliau berucap di hadapan kira-kira 6,000 ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) sempena Perhimpunan Raksasa: Gema Patriotik di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PBTM, Laksamana (B) Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor.

Menurut Muhyiddin, dalam soal keamanan rakyat perlu melihat bagaimana pergolakan di Asia Barat meruntuhkan tamadun negara itu yang terbina sejak ribuan tahun kerana tiada perpaduan dan kesatuan.
Jelas beliau, begitu juga pertahanan daripada ancaman akidah dan agama yang mana rakyat perlu menilai sikap pembangkang kerana secara terbuka memperjuang hak asasi manusia termasuk pluralisme, liberalisme serta amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“Peliknya, dalam gabungan mereka (pembangkang) ada Pas dan bagaimana banyak perkara yang dinyatakan pemimpin mereka berhubung agama amat bertentangan. Amanat Haji Hadi yang menyebabkan perpecahan Melayu Islam sehingga kini tidak ditarik balik.

“Oleh itu, jangan biarkan orang lain mengancam akidah kita. Kita harus tolak mereka ini," katanya.
Dalam soal perpaduan dalam negara pula, tambah Muhyiddin, perjuangan kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak dahulu lagi adalah untuk mengekalkan kerjasama serta perpaduan kaum.
“Begitu juga soal pembangunan ekonomi dan sosial. Hari ini kita (kerajaan BN) membina pembangunan untuk semua kaum dengan memastikan tiada sesiapa pun yang akan terpinggir.
“Sebab itu dalam tempoh empat tahun ini sejak Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, kita membawa transformasi besar dalam negara dan langkah-langkah sebegini penting untuk diteruskan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130429/dn_01/Patriotisme-miliki-pengertian-luas#ixzz2RpPFWX65
© Utusan Melayu (M) Bhd