Páginas

Tuesday 15 August 2017

Tiga Beradik Dapat Rumah Komuniti

Mohammad Ishak | Monday, August 14, 2017


“Saya bersyukur selepas lebih 20 tahun kami tiga beradik tinggal bersama nenek, akhirnya diberikan sebuah rumah percuma untuk tinggal berasingan,” kata Norehan Mohd Nor, 24, dari Kampung Belakang Gudang, Jertih.
Tiga beradik berkenaan yang tinggal serta dibesarkan ibu saudara mereka mendapat perhatian masyarakat berikutan tinggal serumah dengan nenek yang beragama Hindu.


Tiga beradik berkenaan, Norehan Mohd Noor, 24, serta dua adiknya Nur Shahira, 22, dan Mohamad Harris Izzudin, 20, tinggal bersama C. Cheniah, 65, di Lorong Selamat, Belakang Gudang, Jertih.

Mereka tidak menyangka kisahnya yang tersiar dalam sebuah akhbar tempatan mendapat perhatian Ahli Parlimen Besut, Dato’ Seri Idris Jusoh yang bersetuju menyediakan rumah bagi membolehkan mereka tinggal berasingan dengan neneknya.

Norehan yang bekerja sebagai kerani bersama adik-adiknya serta ibu kandung mereka mendapat rumah komuniti berukuran 600 kaki persegi, mempunyai tiga bilik termasuk bilik air dan dapur bernilai RM20,000 dalam satu majlis penyerahan oleh Idris, semalam.

Turut sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Negeri, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih.

“Saya sebenarnya amat berat untuk berpisah dengan nenek, tetapi demi masa depan kami tiga beradik terpaksa memilih untuk tinggal berasingan,” katanya.

Sementara itu, C Cheniah turut mengucapkan terima kasih kepada Idris dan amat menghargai sumbangan rumah itu.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Mek Nab berkata, selama ini tiga beradik itu tinggal serumah dengannya serta suaminya yang berbangsa Cina sejak ibu mereka, Norain memeluk Islam dan tinggal di Klang, Selangor.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment