Páginas

Wednesday 4 April 2018

Anak Orang Asli Pertama Lanjut Pengajian UniSZA

Mastura Jamaldin by Mastura Jamaldin  on Tuesday, April 03, 2018 

Ahmad Razif menyampaikan sumbangan kepada Reemy Razak yang merupakan  anak Orang Asli  pertama di Terengganu yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti
****
Siapa kata anak Orang Asli tidak boleh berjaya dalam pelajaran kerana belakang parang kalau diasah tetap akan tajam dan mereka mampu melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi sama seperti masyarakat luar.


Ini terbukti apabila seorang remaja Orang Asli Sungai Berua, Reemy Razak, 20, berjaya mencipta sejarah menjadi Orang Asli pertama di negeri Terengganu yang ditawarkan melanjutkan pelajaran ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) setelah mendapat keputusan yang baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan baru-baru ini.

Anak keempat dari lima beradik yang memulakan alam persekolahan ketika berusia sembilan tahun berkata dia amat teruja apabila mendapat perkhabaran tersebut serta menyifatkannya sebagai satu anugerah yang cukup bermakna buatnya dan keluarga.

"Sebelum ni ada dengar desas-desus tentang UniSZA menawarkan tempat kepada saya dan hari ini ianya menjadi kenyataan apabila diumumkan sendiri oleh Menteri Besar tadi.

"Memang teruja sangat dan saya akan buat yang terbaik untuk mencapai impian bergelar guru dan pulang menabur bakti kepada anak masyarakat Orang Asli supaya mereka juga akan menikmati kejayaan yang sama seperti saya dapat hari ini" katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita di Program Ramah Mesra YAB Dato' Seri Menteri Besar Terengganu bersama Masyarakat Orang Asli Sungai Berua di perkampungan Sungai Berua, Hulu Telemong hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan Dan Sumber Manusia Negeri, Dato' Rozi Mamat merangkap Ahli Dewan Undangan Telemong,

Tambahnya lagi, walaupun selalu dipandang rendah dan dihina sebagai anak Orang Asli tetapi dia pernah mengambil hati malah menjadikannya sebagai kata-kata semangat untuk berjaya dalam pendidikan.

"Saya buat tak tahu bila ada rakan-rakan yang memandang serong, mengejek malah selalu memperlekehkan saya sebab lahir sebagai anak Orang Asli tetapi saya diamkan sahaja, tetap belajar macam biasa..ikut kelas tambahan, kalau tidak faham saya tanya guru dan kawan-kawan," ujar Reemy.

Reemy juga aktif pelbagai aktiviti di sekolah dan menjadi johan dalam Pertandingan Azan di Program Dakwah Bilal SJKC dan SK Orang Asli dan naib johan Pertandingan Pidato Bahasa Melayu peringkat Sekolah Rendah (Kategori Murid Orang Asli) peringkat Negeri Terengganu tahun 2012.

Sementara itu, Dato' Seri Ahmad Razif Abd.Rahman dalam ucapannya berharap kejayaan Remy akan menjadi contoh dan ikutan kepada anak-anak Orang Asli yang lain dan akan melahirkan lebih ramai insan cemerlang dalam bidang pendidikan.

Dalam majlis tersebut juga, beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM260 ribu untuk membaik pulih jalan yang runtuh dan sebuah van untuk kegunaan anak-anak orang asli ke sekolah.

MEDIAJERTIH

No comments:

Post a Comment