Páginas

Monday 9 April 2018

Terengganu Bubar DUN Hari Ini

Aida Abd Rahman by Aida Abd Rahman  on Monday, April 09, 2018

Menteri Besar menyerahkan watikah pembubaran DUN kepada yang Dipertua DUN, Dato' Mohd Zubir Embong sebelum diserahkan kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri Terengganu, selepas sidang media khas, di Wisma Darul Iman. Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kassim
*****
Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dibubar secara rasmi pada hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak lama lagi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pembubaran DUN berkenaan selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin sebaik sahaja beliau menghadap baginda di Istana Syarqiyyah, Chendering,  kira-kira 10.17 pagi ini.


“Saya telah menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu untuk memohon perkenan bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri Terengganu, dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan telah mengampuni perkenan untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri bermula hari ini. Ini adalah supaya Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum dapat diselaraskan dan diadakan secara serentak,” katanya kepada pemberita dalam sidang media khas di Wisma Darul Iman, sebentar tadi.

Ahmad Razif turut berterima kasih kepada rakyat Negeri Terengganu kerana  memberi kepercayaan kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir negeri sepanjang tempoh lima tahun ini.

Menurut beliau, Kerajaan BN telah melaksanakan dan memberikan yang terbaik untuk rakyat dan kini kuasa dipulangkan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang mereka mahu.

“Bagi pihak Barisan Nasional Terengganu, insyaAllah dengan izin dan kuasaNya, kami berikrar bahawa sekiranya kami diberi mandat sekali lagi untuk menubuhkan kerajaan kami akan pastikan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan yang kita nikmati selama ini dapat dikekalkan selaras dengan kerangka dan prinsip Transformasi Terengganu Baharu (TTB) yang terkandung dalam Maqasid Syariah,”kata beliau lagi.

Tambah beliau,  BN akan menghadapi PRU 14 ini dengan yakin akan segala pencapaiannya yang lalu dan meletakkan sepenuhnya kepada Allah SWT jua dalam menentukan masa hadapan kita bersama.

Dalam pada itu, pada Jumaat lalu, Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa Sabtu dan meminta kerajaan negeri, kecuali Sarawak, turut membubarkan DUN masing-masing bagi membolehkan PRU14 dilaksanakan secara serentak.

MEDIAJERTIH

No comments:

Post a Comment